Wednesday, May 27, 2009

Jumaat, Lepas 5 (LIMA)

Pemandangan yang biasa dilihat + dirasai + ditempuhi oleh semua pemandu yang hendak naik jambatan Pulau Pinang selepas jam 5pm setiap Jumaat pada hujung atau awal bulan..
Lepas kerja-kerja pelebaran & renovate kat jambatan tuh rasanya keadaan ini masih sama atau tak? Sama-samala kita tunggu...

p/s:-mungkin ada baiknya kita ada kenderaan amfibia untuk ketanah besar dari Pulau Pinang :D

Friday, May 15, 2009

YUNA bukan pensil kaler LUNA!

p/s:- jumpa artikel pasal artis nih kat Bharian online, just nak share je, anyway ramai dah kenal artis nih, enjoy her song Dan Sebenarnya + Deeper conversation ;D...

By:Zaidi Mohamad(bharian)

Yuna yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya dapat perhatian penganjur persembahan akustik. PERCUBAAN yang bermula sekadar suka-suka akhirnya menjadi satu penanda aras apabila muzik yang diperjuangkannya sejak dua tahun lalu menjadi perhatian dan serius diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Bermula daripada memuat turun lagu ciptaannya sendiri di dalam laman mencari kenalan popular di Myspace Music, anak tunggal berbakat besar bernama Yuna ini mencipta keajaiban yang cukup tersendiri.
Melalui medium Myspace itu, pemilik nama sebenar Yunalis Zarai, 22, mula mencipta rangkaian bagi mereka yang gemar berinteraksi secara maya. Tuah tidak hanya berhenti di situ, kehadiran Yuna menarik minat penganjur dan promoter untuk mengundangnya membuat persembahan akustik dan gig.

Dalam sekelip mata, gadis bertudung ini mula mencipta fenomena. Berpaksi kepada pegangan berani dan sentiasa percaya kepada impian, Yuna pantas meledak apabila lagu nyanyiannya berjudul Dan Sebenarnya mula menjadi siulan ramai. Atas desakan rakan juga membuatkan penulis cuba menghubunginya melalui Myspace untuk mendapatkan Yuna dalam sebuah sesi fotografi yang diaturkan minggu lalu.

Malah, menerusi capaian laman web Youtube, suara dan wajah Yuna lantas dikenali dan menjadi sebutan. Selepas lagunya mula berkumandang di stesen Fly FM dan Hot FM, mula ramai yang tertanya-tanya siapakah dirinya di sebalik suara dan imej bertudung yang jarang sekali lahir menerusi cabang indie.

Kalau ada sekalipun, industri seni tempatan merentasi arus perdana pernah melahirkan artis wanita bertudung seperti Waheeda, Bienda dan Salima, sekadar menyebut beberapa nama.
Temu janji sesi fotografi bersamanya akhirnya direalisasikan, itu pun selepas Yuna kembali dari membuat persembahan Mosaic di Singapura dan kebetulan lapang daripada kesibukan jadual kuliahnya.

Pertemuan pertama dengan Hip, Yuna hadir dengan gaya lazimnya yang dilabel sebagai identitinya. Cukup sekadar menyarung jeans potongan ‘skinny’, kasut sukan, jaket dan tudung berwarna-warni, dia ditemani ibu dan rakannya, Paan.

Gitar berwarna putih menjadi peneman kala lensa kamera mula dipetik. Jika dulu, dia hanyalah gadis dan pelajar biasa, tapi kini siapa tahu hanya dengan sedikit magis, dia mula diterima ramai.
“Saya tidak menyangka akhirnya semuanya menjadi begini kerana dulu apa yang saya perjuangkan tidak lebih daripada berkongsi rasa muzik dengan orang lain. Saya mula menulis lirik seawal usia 14 tahun, malah saya akui dulu saya bukannya arif dalam bidang komposisi lagu. Beberapa tahun kemudian, saya bermain gitar, itu pun belajar sendiri. Saya mula merakamkan lagu diiringi gitar dan kemudiannya dimuat turun ke dalam komputer riba.

“Mulanya saya gentar dan wujud pandangan skeptikal, mampukah gadis bertudung yang bergerak secara bebas seperti saya boleh diterima. Macam-macam bermain dalam minda, malahan, saya pernah diejek sewaktu kali pertama membuat persembahan. Dengan imej saya yang sebegini, mungkin ada yang memandang lain macam.

“Saya harus berfikiran positif, lupakan perkara negatif yang mungkin mendorong saya daripada tidak terus berkarya. Saya lakukan ini semua bukan kerana glamor mahupun wang ringgit, ia adalah hobi dan keghairahan saya. Saya juga belum layak untuk berada di arus perdana kerana masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya di awal bicara.

Simpan 30 lagu ciptaan sendiri

SELAIN gitar, Yuna turut berkebolehan bermain piano dan bidang yang diceburinya kini turut mendapat galakan ibu bapa tersayang.

Ungkap Yuna, dia mula bertudung sejak berusia 19 tahun dan mempunyai lebih 30 buah lagu yang dicipta sendiri. Memperjuangkan muzik pop rock, Yuna pernah menghasilkan album EP memuatkan empat lagu berbahasa Inggeris dan sebuah lagu Melayu. Khabarnya juga sudah ada syarikat rakaman tempatan dan luar negara yang mula berhasrat untuk menyunting Yuna.
Album itu dibikin menggunakan modal duit bapanya dan lagu Deeper Conversation menjadi single pertaruhannya. Lagu itu mula dimainkan di Fly FM dan kebetulan Hunny Madu mengenalinya sebagai kawan. Bahkan penyampai radio Fly FM itu yang mula memutarkan lagu itu. Sehingga kini, suaranya mula dikatakan mirip penyanyi Norah Jones dan Colbie Caillat.
“Bukan semua lagu saya berentak perlahan dan melankolik. Mungkin apabila ada yang mendengar lagu Deeper Conversation, mereka mengandaikan suara saya persis penyanyi luar negara. Hakikatnya saya memperjuangkan muzik pop rock dan rata-ratanya lagu yang dihasilkan berkait dengan pengalaman diri sendiri dan cerita kawan.

“Saya tak adalah jiwang sangat, biasa-biasa saja. Tipu kalau saya cakap saya tak pernah mengalami fasa bercinta dan kecewa, pengalaman lumrah itu saya salurkan ke dalam muzik. Album EP saya selalunya dijual sewaktu saya membuat persembahan dan turut dijual di beberapa stor muzik terpilih.

“Alhamdulillah, jualan album EP berjaya dijual sebanyak 2,000 cetakan. Dengan hasil jualan itu, saya sedang merancang untuk membikin album penuh memuatkan sekitar 10 lagu. Dua daripadanya dalam bahasa Melayu, manakala selebihnya dalam bahasa Inggeris.
“Sebahagian daripada keuntungan jualan ini juga saya kembalikan semula kepada bapa saya di atas modal awal yang dilaburkannya,” kata Yuna sambil memberitahu lagu Dan Sebenarnya turut diputarkan di Cats FM dan stesen radio di Melaka.

Mahu jadi peguam

SEJAK kecil, cita-citanya mahu bergelar peguam mengikuti jejak bapanya yang bekerja di syarikat guaman. Dunia nyanyian hanya datang tanpa dipinta dan Yuna mengikuti jejak seperti Allahyarham Sudirman dan pelakon Lisa Surihani yang memilih bidang undang-undang dalam masa yang sama, mengasah bakat sebagai anak seni.
“Saya masih ada keinginan untuk bergelar peguam suatu hari nanti, cuma ketika ini saya ketepikan dan seimbangkan ia dengan nyanyian. Ke depan nanti, saya juga bersedia untuk mencipta lagu kepada mana-mana artis yang ingin menggunakan khidmat saya,” katanya yang berminat menulis lagu untuk projek dokumentari contohnya untuk filem pendek indie berjudul The Value Of My Sanity.

Ditanya mengenai bagaimana dia mampu menghasilkan lagu yang cukup puitis, insan kreatif ini berkata semuanya berlaku tanpa diduga. Katanya, waktu malam selalunya menjadi ruang yang mana cetusan inspirasi terus berkembang.

“Apabila tak dapat lelapkan mata, tiba-tiba akan teringat satu situasi atau bayangan keadaan. Bermula dari satu baris ayat, ia dikembangkan dengan alunan muzik mahupun tanpa melodi. Waktu memandu juga ada kalanya saya tak semena-mena boleh timbul idea mencipta lagu,” katanya mengakhiri perbualan.